Ini bagi mengelakkan berlakunya penyongsangan ke atas penggemblengan gunatenaga yang akhirnya tidak memberi manfaat kepada kesamarataan agihan kemakmuran rantau Nusantara kerana berunsur kerahan dan penindasan. Perdagangan dalam Nusantara perlu diperkukuhkan bagi melahirkan Nusantara sebagai satu entiti ekonomi yang berstruktur serta menawarkan setiap zon peranan yang perlu digembleng.
Sebagai contoh, menempatkan perusahaan-perusahaan automobil di sebuah petempatan industri terancang di Nusa Papua dapat memberikan peluang pekerjaan, ilmu serta ruang pembangunan ke wilayah Papua dan menggalakkan penghijrahan bijak pandai ke tanah cenderawasih ini.
Hasilnya, produk yang lebih murah kerana bayaran upah yang bersesuaian dengan keperluan penduduk di sana yang bekerja di kawasan perindustrian ini dapat membolehkan kenderaan di zon-zon bertaraf hidup tinggi dijual dengan harga yang rendah.
Itu sekadar contoh perusahaan yang mungkin. Bagaimana pula dengan perusahaan semi konduktor dalam pembuatan komputer? Dengan hasil emas sebagai hasil bumi Papua, industri ini mampu berkembang dengan baik dan ini akan memberikan harapan pembangunan yang baik bagi wilayah tersebut.
Nusa Papua hanyalah sekadar contoh. Jika tenaga kerja, fasiliti serta kesesuaian boleh didapati di zon lain, maka mengapa tidak ianya dibangunkan ditempat-tempat tersebut seperti di Nusa Tenggara atau Maluku.
Pergerakan dagangan dalam Kesatuan Nusantara mampu mencipta impak yang besar ke atas ekonomi janaan dalaman dengan menumpukan kepada rahsia negara China membentuk entiti ekonominya yang tersendiri sehingga tidak terjejas negara tersebut andai berlaku krisis ekonomi yang timbul akibat kecelaruan sistem kapitalis yang berpaksikan kuasa-kuasa ekonomi Barat.
Dengan memindahkan kilang-kilang ke wilayah kurang membangun, pembangunan ke atas wilayah tersebut dapat dirangka melalui pendapatan yang diperoleh oleh panitia zon yang menjadi penaja kepada pembangunan industri di kawasan tersebut berpandukan perencanaan Majlis Mesyuarat Nusantara.